Tindakan Anwar Mengenepikan Pemimpin PR yang Lemah Dapat Menambahbaik Parti

SHAH ALAM – Tindakan dilaksanakan oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah untuk menambah baik parti, bukan tidak mempercayai kepimpinan sedia ada.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) PKR, Badrul Hisham Shaharin berkata, ini adalah sebahagian daripada usaha beliau (Anwar) untuk menjadikan PR sebuah parti diyakini oleh ahli dan rakyat.

Beliau berkata, sebagai pemimpin utama dalam PR, Anwar sudah memikirkannya sebelum sebarang tindakan diambil.

“Saya yakin apa dilakukan oleh Anwar adalah terbaik kerana sebagai pemimpin lama dan berjuang sejak dulu lagi, tentu beliau mahukan PR yang berada di bawahnya beroleh kejayaan.

“Sememangnya terdapat kelemahan dalam pakatan, ia berlaku dalam mana-mana parti, maka menjadi tugas beliau membaiki kelemahan sedia ada dan ini dilaksanakan oleh Anwar.

“Kenapa perlu pertikai tindakan yang dilakukan. Kami sebagai ahli PR yakin apa yang dilakukan oleh Anwar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Semalam, Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Abd Samad Ibrahim dalam kenyataannya mendakwa tindakan Anwar mengetepikan pemimpin yang tidak mampu berjuang menunjukkan PR berada dalam ’konflik kepemimpinan’.

Beliau berkata, ini menunjukkan PR tidak mampu bekerja termasuk mereka yang telah bergelar ’Yang Berhormat’, malah tindakan Anwar itu juga adalah untuk menarik perhatian rakyat bagi menutup kelemahan kepimpinan dalam parti.

Badrul Hisham berkata, tindakan Abd Samad adalah mencari publisiti dalam arena politiknya terutama ketika UMNO dalam proses peralihan kuasa.


* dipetik dari Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment